Monday, November 23, 2009

Jangan jadi GURU SEMBERONO

Ihsan: utusan Malaysia 24?11/2008
Jangan jadi guru semberono - Mohd. Puad
KUALA LUMPUR 23 Nov. - Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi hari ini memperkenalkan satu istilah baru iaitu 'guru semberono' yang ditujukannya kepada guru-guru yang menjalankan tugas secara sambil lewa dan tidak komited.
Katanya, pengenalan istilah itu bukan bertujuan menafikan kredibiliti guru negara ini yang disifatkan sebagai komited, berdaya saing dan gigih dalam mendidik generasi masa depan.
Sebaliknya, beliau berkata, ia sekadar peringatan agar 'guru semberono' tidak menjadi satu budaya kolektif atau penyakit berjangkit yang akan merosakkan institusi perguruan di negara ini.
"Ia mungkin berlaku kerana ada di antara mereka tidak berminat menjadi guru. Faktor tekanan hidup serta persepsi negatif masyarakat juga adakala menyumbang kepada masalah ini.
"Sebagai contoh, dalam kes di Kuala Dipang, persepsi negatif masyarakat yang hanya menyalahkan guru sedangkan mereka sebenarnya bertanggungjawab, mungkin menyebabkan menjadi kurang bermotivasi dan menjalankan tugas secara semberono selepas ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang Kali Ke-7 di Hotel Seri Pacific di sini hari ini.
Istilah itu diungkapkan oleh beliau secara spontan sewaktu berucap ketika merasmikan persidangan tersebut yang bertemakan Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan Merealisasikan Gagasan 1 Malaysia.
Mengikut Kamus Dewan, semberono membawa erti tidak berhati-hati (tidak difikirkan baik-baik), sembarangan dan kurang teliti dalam melakukan sesuatu perkara.
Sementara itu, Mohd. Puad memberitahu, kementeriannya sedang berusaha menambah bilangan guru cemerlang dari seluruh negara ekoran masih banyak kuota yang belum diisi.
Menurutnya, bermula tahun ini, kementerian telah menambah 4,753 kuota guru cemerlang, sekali gus menjadikan 14,327 kuota berbanding 9,374 sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, hanya 9,293 kuota diisi dengan 4,834 kuota masih lagi kosong.
"Status guru cemerlang ini perlu melalui beberapa tahap bermula dengan permohonan, penilaian dan beberapa kriteria lain. Kementerian memang meletakkan piawaian yang tinggi untuk status ini.
"Sehingga kini, kuota guru cemerlang bagi guru Gred DG48 dan DG44 sekolah rendah masih kosong. Justeru, kementerian berhasrat menambah jumlah guru cemerlang bagi meningkatkan kualiti pendidikan,'' katanya.

No comments: